Tanda-tanda Awal Kanser Payu Dara

KETULAN pada payu dara memang kerap berlaku. Setiap wanita yang mempunyai ketulan dalam payu daranya tidak sepatutnya membiarkannya tanpa mendapat nasihat, pemeriksaan dan ujian daripada doktor. Langkah ini penting kerana ketulan itu mungkin barah, walaupun kebanyakan ketulan dalam payu dara bukan daripada jenis barah. Kadar barah payu dara di negara barat seperti Amerika Syarikat adalah satu dalam 10 orang wanita. Di Malaysia kadar barah payu dara juga meningkat mencapai kadar negara maju.

Tanda-tanda barah payu dara adalah seperti berikut:

1. Ketulan dalam payu dara. Tanda ini adalah yang paling lazim didapati di kalangan wanita berpenyakit barah payu dara. Ketulan itu tidak menimbulkan kesakitan dan biasanya disedari secara tidak sengaja seperti semasa mandi ataupun semasa pemeriksaan sendiri payu dara.

Kadang-kadang ketulan disedari oleh orang lain seperti suami atau doktor yang memeriksa payu dara. Lazimnya ketulan terdapat pada bahagian atas dan luar payu dara (upper outer quadrant). Barah juga berlaku pada bahagian tengah, atau atas dan dalam payu dara tetapi pada kadar yang rendah.

2. Terdapat ketulan kelenjar yang membesar di bahagian ketiak.

3. Terdapat cairan seperti darah atau nanah yang keluar daripada puting payu dara.

4. Terdapat perubahan pada kulit payu dara. Perubahan yang perlu diperhatikan ialah kulit menyerupai kulit limau oren (peau d'orange) yang berlubang kecil. Keadaan ini menandakan bahawa barah telah merebak dan berkemungkinan besar saluran limfa telah tersumbat olehnya. Perubahan bentuk payu dara juga boleh menandakan terdapat barah padanya.

Semua wanita digalakkan untuk mengenali bentuk dan saiz payu daranya supaya perubahan yang berlaku dapat dikesan dengan cepat. Jika terdapat perubahan pada payu dara seperti yang telah disebutkan, wanita dinasihatkan supaya berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya bagi membuktikan jenis ketulan yang ada dan mendapatkan rawatan yang sepatutnya.

0 ulasan:

Post a Comment